Mungkin aku yang seperti terlalu asyik melihat jam tangannya.
Bertali logam berwarna perak, bermuka digital. Aku bukanlah orang yang sukakan jam tangan seperti itu. Aku lebih sukakan gaya analog, bermuka kecil dan berwarna hitam. Sesuai dengan tanganku yang kurus kering. Kawan-kawanku selalu mengejek betapa keringnya aku. Sukar sebenarnya untuk mencari jam yang sesuai bilamana jam-jam yang dijual selalunya lebih menampakkan tulang dan urat-urat di tanganku.
Ya, jam itu Casio tetapi maafkanlah daya ingatanku yang lemah. Sukar untuk aku merangka harga yang mana jam mahal dan yang mana jam yang murah. Aku kurang membeli barang berjenama. Aku hanya membeli jika aku suka.
Seminggu sebelum itu, aku berkata padanya;
"You tau tak, ayah I ada beli jam. Dia beli jam sepuluh ringgit je kat tepi jalan, sayang betul dia pada jam tu"
Dia memandangku.
"Oh, jam I ni pun sepuluh ringgit," katanya.
Aku melihat jam di tangannya. Casio jenama murahkah? Atau dia membeli yang tiruan? Mustahil dia membeli yang tiruan kerana aku tahu betapa dia sering tahu menilai antara produk yang betul dan tiruan. Tapi, detikku, mungkin betul-betul dia beli dengan harga semurah ini. Dia pandai mencari barang berkualiti tinggi yang murah. Ah, biarkan.
"I nak cuba pakai, boleh?"
Lantas dia mengambil jam itu dan memakaikan jam itu ke tanganku.
"Cantik," katanya.
"Kalau you nak, you ambillah," sambungnya lagi.
"Betul?"
"Ya, ambillah"
"Serius ni?"
"Ya, kakak I ada jam yang sama, berwarna emas. Lagipun jam ni cuma sepuluh ringgit. Kalau I nak beli, I boleh beli lain"
Setahun kemudian, aku sudah mula bekerja dan pemberi jam sudah tidak lagi serapat dahulu. Mungkin masa, usia, memamah apa yang kami telah kongsikan. Mungkin jarak, mungkin kesefahaman yang tidak ada. Banyak kemungkinan.
Waktu tengah hari. Dalam perjalanan ke tempat makan, aku mengintai kedai jam. Mana tahu ada yang berkenan. Satu-satu rak yang mempamer jam aku lihat.
"Eh, jam yang sama".
Ya, jam Casio bertali logam berwarna perak bermuka digital.
Mataku mula merayau mencari tanda harga.
Seorang pakcik berbangsa Cina keluar dan bertanya , "Yes, Miss, you nak tengok apa?"
Aku tak berniat untuk membeli. Tapi daya ingin tahu aku membuatkan butir-butir perkataan ini keluar dari mulutku, "Ni...jam ni.. harganya berapa uncle?"
"RM150. You mau angkat?"
Aku memandang pakcik Cina itu. Entah kenapa aku membuka dompetku sebelum aku mula menyedari apa yang aku sedang lakukan.
"Eh, tak payahlah. Saya tengok aje" ujarku sambil berlalu pergi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.